Tuesday, May 26, 2009

005 - Pembahagian Bid'ah : Bedah Buku MSN

Poin Kedua : Pembahagian Bid'ah

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa semua bid’ah adalah sesat. Jika kita menfsirkan perkataan bid’ah dari segi bahasa, kita mendapati bahawa bid’ah bermaksud “segala perbuatan yang tidak ada contoh atau asal-muasal dari sebelumnya”. Jadi apakah ini bermakna menaiki kederaan semacam kereta, motor, kapal terbang dan lain-lain yang tidak ada contoh dari Nabi dihukum sesat sebagaimana dalam hadits Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam? Maka di sini kami akan menghuraikan masalah ini.

Berkata Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah ketika menjelaskan bagaimana satu-satu perkara itu dihukum bid’ah yang sesat, katanya :

كل بدعة ضلالة قاعدة شرعية كلية بمنطوقها ومفهومها أما منطوقها فكأن يقال حكم كذا بدعة وكل بدعة ضلالة فلا تكون من الشرع لأن الشرع كله هدى فان ثبت ان الحكم المذكور بدعة صحت المقدمتان وانتجتا المطلوب

Sabda Nabi “Kullu bid’atin Dholalah” , merupakan kaedah syar’iyah yang menyeluruh. Adapaun lafaznya, seolah-olah dikatakan “Hukum ini adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat. Maka bid’ah itu tidak termasuk perkara syariat kerana semua syariat adalah petunjuk. Apabila telah tetap hukum yang disebut itu adalah bid’ah, maka berlakulah “Semua bid’ah adalah sesat” baik secara lafaz ataupun makna dan inilah yang dimaksudkan.” (Fathul Bari jil. 13 ms. 267)

Lihat bahagian kata-katanya, “Maka bid’ah itu tidak termasuk perkara syariat kerana semua syariat adalah petunjuk” yang dimaksudkan di sini ialah, selagi mana sesuatu perbuatan itu tidak termasuk kategori bid’ah maka ianya tidak boleh dikatakan bid’ah yang sesat. Ini jelas pada pernyataan beliau “Apabila telah tetap hukum yang disebut itu adalah bid’ah, maka berlakulah “Semua bid’ah adalah sesat” baik secara lafaz ataupun makna dan inilah yang dimaksudkan”. Begitu juga bid’ah tidak boleh dimasukkan ke dalam syariat kerana bid’ah adalah kesesatan sedangkan syariat adalah petunjuk dan keseluruhan syariat telah diterangkan dan disampaikan oleh Nabi.

Ini juga membuktikan bahawa tidak wujud bid’ah hasanah. Kerana keseluruhan bid’ah adalah sesat. Kemudian jika sesuatu amal perbuatan itu dinamakan bid’ah hasanah kerana ada dasar dalam syariat, maka ianya tertolak kerana jika ia terdapat dalam syariat, lebih benar lagi amalan itu dinamakan dengan sunnah ataupun perbuatan yang disyariatkan.

Tentang masalah ini, para ulama telah membahagikan bid’ah ini kepada dua bahagian. Untuk keterangan yang detail, saya bawakan jawapan di dalam buku MSN yang menjawap syubhat Zamihan tentang bid’ah.

Ustadz mengatakan di halaman 15 mengenai erti bid’ah:

Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka para ulama telah memberikan beberapa definisi dan takrif berkenaan bid’ah menurut istilah syara’ seperti berikut.

Ibnu Rajab rahimahullah berkata :

ما أحدث مما لا أصل له في الشريعة يدل عليه وأما ما كان له أصل من الشرع يدل عليه فليس ببدعة شرعا وإن كان بدعة لغة

Yang dimaksudkan dengan bid’ah ialah apa-apa yang diada-adakan tanpa ada asalnya dalam syariat yang menunjukkan perbuatan tersebut. Adapun yang ada asalnya daripada syariat yang menunjukkan perbuatan tersebut bukanlah suatu bid’ah menurut syariat walaupun dikatakan secara bahasa. (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam 2/127)

Imam Suyuthi berkata :

والبدعة عبارة عن فعلة تصادم الشريعة بالمخالفة، أو توجب التعاطي عليها بزيادة أو نقصان

Bid’ah adalah pengungkapan dari suatu perbuatan yang menolak syariat dengan cara menyelisihinya atau menyebabkan pertentangan dengan syariat sama ada dengan menambah atau mengurangkannya. (Al-Amru bil Ibtiba’ ms. 81 oleh as-Suyuthi)

Imam Syathibi telah membahas masalah ini dengan begitu teliti, definisi yang dibawakan oleh beliau adalah definisi yang paling bagus, di mana beliau menyatakan :

عبارة عن طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه

Bid’ah ialah suatu jalan yang direka-reka di dalam urusan agama yang mana ianya menyerupai syariat dan dilaksanakan dengan maksud bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah subanahu wa ta’ala. (al-I’tisham 1/27) [selesai nukilan dari MSN]

Saya (Abu Hurairah) mengatakan : kesimpulan yang dapat diambil dari ulasan para ulama di atas ialah, 1) bid’ah itu adalah sesat sehingga ia perlu ditolak 2) para ulama membahagikan bid’ah kepada dua bahagian sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali Rahimahullah iaitu bid’ah dari segi bahasa dan syara’.

Kontroversi perkataan Imam Syafie –Bid’ah itu ada dua hasanah dan dholalah

Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Syafie rahimahullah :

البدعة بدعتان: بدعة محمودة، وبدعة مذمومة، فما وافق السنة فهو محمود، وما خالف السنة فهو مذموم

(1) Bid’ah itu ada dua bentuk : Bid’ah mahmudah dan Bid’ah Mazmumah (tercela). Maka apa yang bersesuaian dengan sunnah, ianya terpuji dan apa yang menyelisihi sunnah maka ia adalah tercela.”

Dalam pernyataan yang lain, Imam Syafie rahimahullah berkata :

(2)المحدثات في الأمور ضربان: أحدهما ما حدث يخالف كتاباً أو سنة أو أثراً أو إجماعاً فهذه البدعة الضلالة. والثاني: ما أحدث من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا فهي محدثة غير مذمومة

Suatu yang diada-adakan (perkara baru di dalam agama) ada dua bentuk : Sesuatu yang diada-adakan yang menyelisihi kitab (al-Quran) atau sunnah, atau atsar ataupun ijma’, maka ianya adalah bid’ah yang sesat. Dan sesuatu yang diada-adakan dari kebaikan yang ia sedikitpun tidak menyelisihi sunnah, maka ia tidak tercela.” (Al-Amru bil Ibtiba’ ms. 89 oleh as-Suyuthi)

Jawapan :

Mungkin sesetengah orang beralasan dengan kata-kata Imam Syafie mengenai wujudnya bid’ah hasanah dalam agama, sehinggakan mereka redha mengamalkan bid’ah hasanah melebihi mengamalkan sunnah Nabi.

Ustadz telah memberikan jawapan kepada orang-orang yang berhujah dengan ucapan Imam Syafie untuk membenarkan bid’ah hasanah dengan membawakan perkataan para ulama sebagaimana di dalam MSN hlmn 17, katanya :

1) Suatu ucapan atau pendapat seseorang tidak boleh ataupun pendapat dari seseorang tidak boleh menyalahi sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam walau bagaimana kedudukannya sekalipun. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah hujah ke atas semua manusia, tidaklah sebaliknya iaitu ucaoan seseorang menjadi hujah ke atas sabda Nabi.

Abdullah Bin Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata :

ليس احد الا ويؤخذ من رأيه ويترك ما خلا النبي

“Tidaklah seseorang itu kecuali pendapatnya boleh diterima dan ditolak melainkan Nabi” [Di dalam buku MSN tidak disebutkan nota kaki bagi atsar ini, di sini saya bawakan dan saya hanya menemukan perkataan ini pada lafaz (ما من أحد إلا يؤخذ من علمه ويترك إلا رسول الله) dari Ibnu Abbas disebutkan di dalam Takhrij Ahadits al-Ihya’ oleh al-‘Iraqi (تخريج أحاديث الإحياء). Adapun perkataan seperti di atas dengan lafaz (ليس أحد إلا يؤخذ من قوله ويترك من قوله إلا النبي) dari Mujahid seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi di dalam al-Madkhal ila Sunnan al-Kubra (1/107)]

2) Orang yang meneliti perkataan Imam Syafie rahimahullah tidak akan teragak-agak untuk menetapkan bahawa bid’ah mahmudah yang dimaksudkan oleh beliau adalah bid’ah pada bahasa bukan pada syara’ berdasarkan dalil : Bahawa semua bid’ah pada pengertian syara’ ialah amalan yang menyelisihi al-Kitab dan Sunnah.

Sesungguhnya Imam Syafie membataskan bid’ah mahmudah kepada perkara yang tidak menyalahi al-Kitab dan Sunnah. Sedangkan semua bid’ah pada syara’ ianya menyalahi firman Allah :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, (QS. al-Maidah 5:3)

Dan menyalahi sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru daam urusan (agama) kita, yang ianya bukan dari agama, maka perbuatannya itu tertolak (tidak diterima oleh Allah).” (Bukhari no. 2697)

Juga menyalahi ayat-ayat dan hadits-hadits yang lain. [selesai nukilan dari MSN]

Saya berkata : Secara ringkas apa yang kita dapat difahami ialah, bahawa bid’ah yang sesat diukur dari sisi syara’ sedangkan bid’ah dari segi bahasa tidaklah ia dikatakan sesat. Inilah kesepakatan para ulama mengenai bid’ah lughawi (bahasa) dan syarie (syara’). Dan perkataan Imam Syafie sendiri telah dijelaskan oleh ulama yang lain iaitu Ibnu Rajab bahawa tidak wujud syariat yang baru atas nama bid’ah hasanah. Maka orang yang menolak hujah ulama tanpa ilmu (untuk membenarkan bid’ah hasanah), maka tidak diragukan lagi bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu yang tegar.

Ustadz membawakan perkataan Ibnu Rajab di halaman 19 di MSN di mana Ibnu Rajab berkata :
ومراد الشافعي رضي الله عنه ما ذكرناه من قبل أن أصل البدعة المذمومة ما ليس لها أصل في الشريعة ترجع إليه وهي البدعة في إطلاق الشرع وأما البدعة المحمودة فما وافق السنة يعني ما كان لها أصل من السنة ترجع إليه وإنما هي بدعة لغة لا شرعا لموافقتها السنة

“yang dimaksudkan oleh Imam Syafie yang telah kita sebutkan sebelumnya (no. 1 dan 2 di atas –pen-), bahawasanya pada dasarnya bid’ah yang tercela adalah sesuatu yang tidak ada asalnya menurut syariat yang ia akan kembali kepadanya. Inilah bid’ah menurut syara’. Adapun bid’ah yang terpuji iaitu apa-apa yang bertepatan dengan sunnah yang kembali kepadanya, hanyasanya pemahaman ini secara bahasa bukan secara syara’, kerana ia bertepatan dengan sunnah”. (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam jil. 2 ms. 131)
Bid’ah pada bahasa yang dimaksudkan oleh Imam Syafie yang dikatakan mahmudah seperti, penulisan hadits dan solat terawih. Perbuatan ini boleh dikatakan dalam bahasa sebagai bid’ah kerana ianya tidak dikerjakan sebelumnya. Adapun pada syara’, ianya tidak boleh dikatakan sebagai bid’ah kerana mempunyai asal dari as-Sunnah tentang pensyariatannya. [selesai nukilan dari MSN]

Para ulama yang membahagikan bid’ah kepada lughawi dan syarie

1)Ibnu Katsir berkata di dalam tafsirnya berkaitan firman Allah: بديع السموات والارض
{ بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ } أي: خالقهما على غير مثال سبق، قال مجاهد والسدي: وهو مقتضى اللغة، ومنه يقال للشيء المحدث: بدعة. كما جاء في الصحيح لمسلم: "فإن كل محدثة بدعة [وكل بدعة ضلالة] " . والبدعة على قسمين: تارة تكون بدعة شرعية، كقوله: فإن كل محدثة بدعة، وكل بدعة ضلالة. وتارة تكون بدعة لغوية، كقول أمير المؤمنين عمر بن الخطاب رضي الله عنه عن جمعه إياهم على صلاة التراويح واستمرارهم: نعْمَتْ البدعةُ هذه.

Dialah Allah yang menciptakan langit dan bumi” bermaksud Dialah yang menciptakan kedua-duanya tanpa ada contoh yang sebelumnya. Menurut Mujahid dan as-Suddiy menyatakan bahawa makna yang dikehendaki ialah secara bahasa. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa orang yang melakukan perkara

baru dalam agama adalah bid’ah. Sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Shahih Muslim bahawa Nabi bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah.”

Dan bid’ah itu pada dasarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama : Bid’ah Syar’iyah (menurut syara’) kedua Bid’ah lughawi (menurut bahasa). Adapun yang dimaksudkan dengan bid’ah syar’iyah ialah sesuai dengan sabda Nabi beriktu ini, ertinya “Sesungguhnya setiap perbuatan baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.” Manakala yang dimaksudkan dengan bid’ah lughawi ialah seperti perkataan Amirul Mukminin Umar al-Khatthab tentang solat terawih berjemaah yang dilakukan secara terus-menerus di mana beliau berkata “Sebaik-baik perbuatan bid’ah adalah ini (solat terawih berjemaah)”.
(Tafsir Quranil ‘Azhim oleh Imam Ibnu Katsir 1/153 - di dalam buku MSN perkataan {هى} digunakan pada teks arabnya, lalu saya digantikan dengan {هذه} pada teks arabnya kerana perkataan ini lebih masyhur dan memang perkataan ini {هذه} terdapat di dalam tafsir Ibnu Katsir. Mungkin rujukan yang diambil oleh Ustadz tertulis perkataan {هى} ataupun mungkin kesalahan dari penulisan Ustadz, harap maklum Allahu a'lam)

2)Berkata al-‘Allamah Ibnu Hajar al-Haitami al-Syafie dalam fatwanya :

هي ما لم يقم دليل شرعي على أنه واجب أو مستحب سواء أفعل في عهده أو لم يفعل كإخراج اليهود والنصارى من جزيرة العرب وقتال الترك لما كان مفعولا بأمره لم يكن بدعة وإن لم يفعل في عهده وكذا جمع القرآن في المصاحف والاجتماع على قيام شهر رمضان وأمثال ذلك مما ثبت وجوبه أو استحبابه بدليل شرعي
وقول عمر رضي الله عنه في التراويح نعمت البدعة هي أراد البدعة اللغوية وهو ما فعل على غير مثال كما قال
تعالى ) قل ما كنت بدعا من الرسل ( وليست بدعة شرعا فإن البدعة الشرعية ضلالة كما قال ومن قسمها
من العلماء إلى حسن وغير حسن فإنما قسم البدعة اللغوية ومن قال كل بدعة ضلالة فمعناه البدعة الشرعية

“bid’ah menurut syara’ ialah suatu perbuatan yang tidak ada dalil syara’ dalam perkara yang dwajibkan atau disunnahkan untuk melakukannya. Sekiranya ada dalil syara’ yang menyatakan bahawa pernah atau tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah, maka tentulah tidak boleh disebut sebagai bid’ah sayyiah (buruk). Perintah Nabi untuk mengusir orang-orang yahudi dan nashrani dari Jazirah arab dan memerangi mereka bukanlah termasuk perbuatan bid’ah walaupun perbuatan itu tidak pernah berlaku di zaman baginda. Demikian juga dengan pengumpulan al-Quran dalam mashaf. Juga mengenai ijtima’ (pengumpulan) Qiamul-lail Ramadhan dan sebagainya. Termasuk juga penetapan hukum wajib dan disunnahkan yang berdasarkan dalil syara’. Juga berkenaan perkataan Umar mengenai Solat terawih di mana beliau berkata “Sebaik-baik bid’ah ialah perbuatan ini”.

Adapun bid’ah menurut bahasa ialah perbuatan yang tidak diperintahkan dan tidak dicontohkan. Sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah berikut ini

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ

Katakanlah: "Aku bukanlah rasul yang pertama di antara rasul-rasul (QS. al-Ahqaf 46:9)

Yang dimaksudkan dengan bid’ah dalam ayat ini bukanlah bid’ah sayyiah (buruk). Kerana bid’ah sayyiah semuanya sesat sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah di atas. Sesiapa antara ulama yang membahagikannya menjadi bid’ah hasanah dan sayyiah, maka permbahagian itu adalah pembahagian lughawi. Dan orang yang mengatakan semua bid’ah itu sesat, maka pemahamannya diambil dari makna bid’ah syar’iyah”. (As’ilah ms. 57, al-Fatawa oleh Ibnu Hajar al-Haitami 1/109)
Dengan dua perkataan ulama tadi tentang pembahagian bid’ah kepada lughawi dan syar’ie, maka jelaslah di sini bahawa bid’ah yang sesat adalah yang dilakukan di dalam agama. Adapun selain dari agama, maka ia adalah bid’ah hasanah. Allahu a’lam selesai jawapan kepada orang-orang yang sering melaungkan “jika begitu sesatlah penggunaan kereta, kapal terbang dll”. Inilah jawapan untuk mereka bahawa bid’ah yang mereka sebutkan tadi hanya terbatas kepada bid’ah lughawi. alhamdulillah



Friday, May 22, 2009

004 - Takhrij Hadits Muawiyah bin Hakam as-Sulami : Jawapan Kepada Syubhat Orang Yang Mendhaifkan Hadits ini

Takhrij Hadits Muawiyah bin Hakam as-Sulami : Jawapan Kepada Syubhat Orang Yang Mnedhaifkan Hadits ini

Teringin di hati saya untuk menjawab syubhat yang ditimbulkan oleh 2 orang pendakyah ahbash yang datang ke Sabah pada awal tahun yang lalu. Di mana mereka datang membawakan mesej dan laungan "Allah Wujud Tanpa Bertempat". Namun kerana beberapa kesulitan maka hal ini saya tunda untuk beberapa waktu. Sehingga saat ini baru saya berkelapangan untuk membawakn jawabannya.

Mereka membawakan risalah dan disebarkan di kawasan Universiti Malaysia Sabah yang di dalamnya mengandung syubhat yang besar yang dapat memalingkan umat dari aqidah yang shahih mengikut pemahaman salafus soleh.

Mereka mengatakan bahawa takhrij hadits Muawiyah bin Hakam as-Sulami dinilai dhaif kerana sanadnya mengandungi kegoncangan. Jadi di sini saya bawakan hujah untuk menolak syubhat ini yang telah disampaikan oleh al-Akh Nawawi Subandi -jazahullahu khoiron jazaa'- :

عَنْ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّلَمِي: وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ قِبَلَ اُحُدٍ وَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ، فَاِذَا بَالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ، اَسَفُ كَمَا يَاْسَفُوْنَ. لَكِنَّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَاَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ. قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَ اَعْتِقُهَا؟ قَالَ : اِئْتِنِيْ بِهَا. فَقَالَ لَهَا: اَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِى السَّمَاءِ. قَالَ: مَنْ اَنَا؟ قَالَتْ: اَنْتَ رَسُوْلُ اللهِ. قَالَ: اَعْتِقُهَا فِاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.”

Hadis ini melalui dua jalan (jalur periwayatan) sebagaimana berikut:

1 – Jalur Imam Malik: Dari Hilal bin Ali Abu Maimunah, dari Atha’ bin Yasar, dari Mu’awiyah bin Hakam as-Sulami.

Boleh disemak di dalam:

- al-Muwaththa’, 2/722, no. 8. oleh Imam Malik.
- ar-Risalah, no. 242. oleh Imam asy-Syafi’i, tahqiq Syaikh Ahmad Syakir.
- Sunan al-Kubra, oleh an-Nasa’i, sebagaimana di dalam Tuhfatul Asyraf, 8/427. oleh al-Mizzi.
- ar-Radd ‘Alal Jahmiyyah, no. 62. oleh Imam ad-Darimi.
- Kitabut Tauhid, m/s. 132. oleh Ibnu Khuzaimah, tahqiq Syaikh Khalil Haras.
- Sunan al-Kubra, 10/98, no. 19984. oleh al-Baihaqi.
- at-Tamhid, 9/69-70. oleh Ibnu Abdil Barr.

2 – Jalur Yahya bin Abi Katsir: dari Hilal bin Ali bin Abi Maimunah, dari Atha’ bin Yasar, dari Mu’awiyah bin Hakam as-Sulami.

Boleh disemak di dalam:

- al-Musnad, 5/448. oleh Imam Ahmad.
- Juz al-Qira’ah, m/s. 70. oleh al-Bukhari.
- Sunan Abu Daud, no. 931, 3282. oleh Abu Daud.
- Sunan al-Kubra, oleh an-Nasa’i, sebagaimana di dalam Tuhfatul Asyraf, 8/427. oleh al-Mizzi.
- Kitabut Tauhid, m/s. 132. oleh Ibnu Khuzaimah, tahqiq Syaikh Khalil Haras.
- Syarhus Sunnah, 3/237-239, no. 726. oleh al-Baghawi.
- al-Mu’jam al-Kabir, 19/398, no. 938. oleh ath-Thabrani.
- Shahih Muslim, no. 537.
- dan banyak lagi...

Hadis ini telah disepakati kesahihannya oleh seluruh ulama kaum muslimin. Ini adalah sebagaimana sebahagian ulasan yang dibawakan di bawah:

1 – Imam al-Baihaqi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan oleh Muslim.” (al-Asma’ wa Shifat, m/s. 532-533, cet. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

2 – Imam al-Baghawi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan Muslim dari Abu Bakar bin Abi Syaibah dari Ismail bin Ibrahim dari Hajjaj.” (Syarhus Sunnah, 3/239, 9/247)

3 – Imam Ibnu Qudamah berkata: “Hadis ini sahih.” (Itsbat as-Shifat al-‘Uluw, m/s. 47)

4 – Imam adz-Dzahabi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, dan imam-imam yang lainnya di dalam kitab-kitab mereka dengan memperlakukannya sebagaimana datangnya tanpa ta’wil dan tahrif. (al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, 1/249, tahqiq Abdullah bin Soleh al-Barrok)

5 – al-Hafiz Ibnu Hajar al’Asqalani berkata: “Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh Muslim. ()Fathul Bari, 13-359

6 – Syaikh al-Albani berkata: “Hadis ini sahih dengan tanpa ada keraguan. Tidak ada yang meraguinya melainkan orang-orang yang jahil dan pendukung hawa nafsu.” (Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 82)

7 – Begitu juga Imam asy-Syafi’i yang telah jelas menggunakan hadis ini untuk berhujjah dan pegangan sebagaimana katanya:

“Dengan itu, Rasulullah memutuskan keimanan budak wanita (jariyah/hamba wanita) tersebut ketika ia mengakui bahawa Rabbnya di langit dan dia tahu tentang Rabbnya melalui sifat ‘uluw dan fauqiyah (di atas).” (al-Umm, asy-Syafi’i, 5/280. al-Manaqib, al-Baihaqi, 1/398)

Bahkan, ini hanyalah sedikit nukilan, hakikatnya begitu banyak lagi. Begitulah akan keabsahan hadis ini di sisi ahlus Sunnah wal jama’ah dari dahulu hingga kini.

Syubhat Ahlul Bid’ah Terhadap Hadis Ini:

Terdapat segolongan pihak yang menyatakan, “Hadis ini menimbulkan kesan yang membawa kepada penunjukkan Allah itu menetap di suatu tempat yang mana perkara ini adalah mustahil bagi-Nya dan mustahil pula diucapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”

Jawabannya:

Apabila yang dimaksudkan “tempat” (makan) adalah yang tersirat di dalam benar fikiran mereka, iaitu setiap yang meliputi dan membatasi seperti langit, bumi, kursi, ‘Arsy, dan sebagaimnya, maka adalah benar perkara itu mustahil bagi Allah berdasarkan kesepakatan seluruh ulama Islam, kerana Allah tidak mungkin dibatasi dan diliputi oleh makhluk, bahkan Dia lebih besar dan Agung, bahkan kursi-Nya sahaja meliputi langit dan bumi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang selayaknya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari Kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari sebarang apa yang mereka persekutukan.” (QS. az-Zumar 39: 67)

Begitu juga di dalam Shahih al-Bukhari, no. 6519 dan Muslim, no. 7050, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah menggenggam bumi dan melipat langit dengan tangan kanan-Nya, kemudian berfirman: Aku adalah raja, manakan raja-raja bumi?”

Ada pun apabila yang dimaksudkan adalah “tempat” sebagai sesuatu yang tidak meliputi yakni di luar alam semesta, maka Allah di luar alam semesta sebagaimana keberadaan-Nya sebelum menciptakan makhluk. Jadi, Allah di tempat yang bermakna kedua ini bukanlah makna pertama. (Rujuk: Muqaddimah Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 70-71. oleh al-Albani)

Yang menjadikan persoalan ini sehingga memeningkan (rumit) sebenarnya adalah kerana mereka menggunakan ilmu Kalam (falsafah/pemikiran) iaitu yang telah diserapkan ke dalam persoalan ini, sehingga mereka mengatakan kepada penganutnya: “Tidak dibolehkan mengatakan: “Allah di atas langit.” Kenapa? Kerana Allah tidak memerlukan tempat dan Allah tidak bertempat.” Kita katakan: Benar, Allah tidak memerlukan kepada tempat, tetapi perlu diketahui bahawa seseorang Muslim ketika meyakini bahawa Allah di atas langit bukanlah bermakna seperti seseorang di dalam bilik (kamarnya)! Kenapa? Kerana ini adalah tasybih (penyerupaan Allah dengan makhluk), sekali-kali tidak! (Rujuk: Minhaj Ahli Sunnah wal Jama’ah fil ‘Aqidah wal Amal, m/s. 134. oleh Abu Abdillah an-Nu’mani, m/s. 134)

Wallahu a’lam.

Thursday, May 21, 2009

003 - Semua Bid'ah Adalah Sesat : Bedah Buku MSN

Poin Pertama : Semua Bid'ah Adalah Sesat

Zamihan menulis di BKADT : “Maka nyatalah bagi kita bahawa perbuatan di atas tadi (perbuatan Umar) adalah bid’ah hasanah, iaitu bid’ah yang baik. Demikian juga dengan perbuatan menunggu kubur. Ia merupakan perbuatan yang dilakukan oleh para sahabat r.a (seharusnya r.a kepada radhiyallahu ‘anhu –pen-) dan para ulama salaf al-Soleh......” (m.s 10-11) [selesai nukilan dari buku Zamihan]

Dan kemudian membawakan dalil daripada Imam al-Syafie yang membahagikan bid’ah itu kepada dua bahagian. (m.s 11)

Kemudian jawapan Ustadz kepada Zamihan :

Perkara yang telah dimaklumi di dalam agama Islam ini, ialah semua bid’ah dalam urusan agama adalah sesat. Tidak ada yang baik yang diistilahkan oleh sesetengah orang sebagai `bid’ah hasanah’. Banyak dalil secara jelas menegaskan perkara ini. Di antaranya :

Firman Allah subahnahu wa ta’ala :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. (QS. al-Maidah 5:3)

Imam Malik –rahimahullah- berkata :

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه و سلم خان الرسالة لأن الله يقول : { الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا } فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Barangsiapa yang membuat bid’ah dalam urusan agama Islam, dia menganggap bid’ah yang dilakukannya itu hasanah (baik). Maka sesungguhnya dia telah menyangka Muhammad telah mengkhinati Risalah, kerana sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala telah berfirman: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”. Maka sesuatu yang tidak menjadi agama pada hari itu, ia tidaklah pula menjadi agama pada hari ini.” (al-I’tisham oleh Imam al-Syatibi jil. 2 ms. 283)

Berkata al-Syaukani -rahimahullah- dalam bukunya al-Kaulul Mufid :

فإذا كان الله قد أكمل دينه قبل أن يقبض نبيه صلى الله عليه و سلم فما هذا الرأي الذي أحدثه أهله بعد أن أكمل الله دينه إن كان من الدين في اعتقادهم فهو لم يكمل عندهم إلا برأيهم وهذا فيه رد للقرآن وإن لم يكن من الدين فأي فائدة من الاشتغال بما ليس من الدين

“Maka apabila Allah telah menyempurnakan agama-Nya sebelum Dia mewafatkan Nabi-Nya shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka apakah pendapat ini (menganggap bid’ah itu hasanah –pen-) yang diada-adakan orang sesudah Allah menyempurnakan agama-Nya?!! Jika ianya adalah agama pada I’tiqad mereka, maka mereka memandang bahawa agama Allah itu tidak sempurna kecuali dengan pandangan mereka. Jika ianya bukan dari pandangan agama, maka apakah faedahnya menyibuk-nyibukkan diri pada apa yang bukan daripada agama?! (Dinukil dari Kitab Ilmu Ushul Bida’ ms. 21. Di dalam kitab asal al-Syaukani pada ms. 82 cetakan Darul Qolam Kuwait)

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Daripada Jabir Bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu bahawsanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam khutbahnya bersabda : “Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dan seburuk-buruk perkara ialah perkara yang diada-adakan dan semua bid’ah adalah sesat.” (Riwayat Muslim Syarah Shahih Muslim oleh Imam Nawawi Kitabul Jum’ah, Bab : Raf’us sawti fil khutbah wama wakulu fiha, 6/392 no. 2002, An-Nasaie : kitabul I’daini bab Kaifal Khutbah 3/209 no. 1577)

وَعَظَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا بَعْدَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ رَجُلٌ إِنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ يَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَعَلَيْهِ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَ الْمُحْدَثَاتِ الْأُمُورَ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Daripada Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu berkata : Rasulullah memberikan nasihat kepada kami yang membuat hati kami bergetar dan berlinangan air mata. Kami berkata : “Wahai Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat perpisahan, maka berikanlah nasihat kepada kami?” Maka baginda menjawap : “Aku berwasiat kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah dan sentiasa mendengar dan taat walaupun orang yang memimpin kamu adalah seorang hamba sahaya. Sesiapa di antara kamu yang panjang umurnya, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpegang teguhlah kamu kepada sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-Rasyidin yang diberi petunjuk setelahku. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham kamu. Dan jauhilah perkara-perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama). Kerana sesungguhnya setiap perkara yang baru itu adalah bid’ah dan semua bid’ah itu sesat.” (Riwayat Muslim Syarah Shahih Muslim oleh Imam Nawawi Kitabul Jum’ah, Bab : Raf’us sawti fil khutbah wama wakulu fiha, 6/392 no. 2002, Timidzi : Kitabul Ilmu bab maja a’fil akhzi bis sunnah wajtinabil bida’ 7/365 no. 2815 –lafaz ini riwayat Imam Tirmidzi-)

هذا فقوله صلى الله عليه و سلم كل بدعة ضلالة من جوامع الكلم لا يخرج عنه شيء وهو أصل عظيم من أصول الدين

Ibnu Rajab rahimahullah ketika mengulas sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam semua bid’ah itu sesat, beliau berkata : hadits ini antara perkataan yang menyeluruh. Tidak ada suatu pun yang terkeluar daripadanya. Hadits ini adalah hadits yang agung, ianya merupakan salah satu asas agama.” (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam jil. 2 ms. 128)

كل بدعة ضلالة قاعدة شرعية كلية بمنطوقها ومفهومها أما منطوقها فكأن يقال حكم كذا بدعة وكل بدعة ضلالة فلا تكون من الشرع لأن الشرع كله هدى فان ثبت ان الحكم المذكور بدعة صحت المقدمتان وانتجتا المطلوب

Ibnu Hajar rahimahullah di dalam bukunya ketika menjelaskan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam “semua bid’ah adalah sesat” beliau berkata : “(Semua bid’ah adalah sesat) kaedah Syar’iyah yang menyeluruh. Adapaun lafaznya, seolah-olah dikatakan “Hukum ini adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat. Maka bid’ah itu tidak termasuk perkara syariat kerana semua syariat adalah petunjuk. Apabila telah tetap hukum yang disebut itu adalah bid’ah, maka berlakulah “Semua bid’ah adalah sesat” baik secara lafaz ataupun makna dan inilah yang dimaksudkan.” (Fathul Bari jil. 13 ms. 267)

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru daam urusan (agama) kita, yang ianya bukan dari agama, maka perbuatannya itu tertolak (tidak diterima oleh Allah).” (Bukhari no. 2697)

عبد الله بن عكيم ، عن عمر ، أنه كان يقول : « أصدق القيل قيل الله ، وأن أحسن الهدي هدي محمد صلى الله عليه وسلم ، وإن شر الأمور محدثاتها، ألا وإن كل محدثة بدعة ، وكل بدعة ضلالة ، وكل ضلالة في النار

Daripada Abdullah bin Ukaim, bahawa Umar radhiyallahu ‘anhu berkata : Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah perkataan Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sesungguhnya seburuk-buruk perkara ialah mengada-adakan perkara baru dalam agama. Sesungguhnya setiap perkara yang baru dalam agama adalah bid’ah. Dan sesungguhnya setiap bid’ah adalah sesat. Dan semua kesesatan menuju ke dalam neraka.” (HR Ibnu Wadhdhah dalam bukunya al-Bida’ ms. 56 no. 59)

إتبعوا ولا تبتدعوا فقد كفتيم زاد محاضر كل بدعة ضلالة

Berkata Abdullah Ibn Mas’ud : “Ikutilah oleh kamu akan perintah agama dan janganlah kamui mengada-adakan dalam urusan agama (bid’ah –pen-). Seseungguhnya kamu ini tela dicukupkan oleh agama ini. Dan semua bid’ah adalah sesat”. (Syarhus Ushul t’tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh al-Lalikaie jil. 1 ms. 96 no. 104)

كل بدعة ضلالة وإن رآها الناس حسنة

Berkatala Abdullah Bin Umar : “Semua bid’ah adalah sesat walaupun semua manusia menggap bid’ah itu hasanah (baik).” (al-Lalika’e 1/103 no. 126) dan Ibnu Battah (1/339 no. 205) [selesai nukilan dari buku MSN]

Maka saya (Abu Hurairah) mengatakan, lihat pernyataan ulama yang dibawakan oleh Ustaz Abdul Wahab. Bukan seorang dari mereka yang menyatakan bahawa bid’ah itu seluruhanya adalah dholalah yakni sesat. Apakah Ustadz mengedepankan pendapatnya mengenai bid’ah itu semuanya sesat, ataupun beliau mengikut apa yang telah dikatakan oleh para ulama?

Maka inilah jawapan untuk "Semua Bid'ah adalah sesat"

Allahu a'lam



002 - Pendahuluan Buku Membela Sunnah Nabawiyah

Pendahuluan

Buku Membela Sunnah Nabawiyah : Menjawab Syubhat Buku Bid’ahkah Kenduri Arwah dan Talqin (MSN) merupakan tulisan guru kami, al-fadhil Ustadz Abdul Wahab Ibn Bustami -hafizhahullah-. Membahas mengenai tulisan karangan Zamihan al-Ghari yang bertajuk “Bid’ahkah Kenduri Arwah Dan Talqin (BKADT)” terbitan Tera Jaya Enterprise Selangor cetakan pertama 2001.

Sedikit latar belakang mengenai buku ini bahawa ianya merupakan teguran dan bantahan terhadap buku Zamihan BKADT yang mengandungi banyak syubhat dan penyelewengan. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Ust Abdul Wahab di mukaddimah kitabnya, tujuan utama penulisan buku ini adalah amar ma’ruf nahi mungkar.

Ini kerana Zamihan al-Ghari telah menisbatkan amalan menunggu kubur sebahagian dari amalan para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sedangkan nash yang dibawakan oleh Zamihan keseluruhannya samar-samar dan tidak ada riwayat yang sahih mengenai perkara ini. Kemudian Zamihan juga telah membawakan beberapa topik seperti wujudnya bid’ah hasanah, hukum beramal dengan hadis dhaif dan lainnya yang Insya Allah akan kami kupaskan satu persatu.

Saya (Abu Hurairah) hanya akan membawakan beberapa poin penting sahaja yang terkandung di dalam buku ini, memandangkan ianya mengandungi manfaat yang besar bagi seluruh kaum muslimin untuk mengetahui hakikat sebenar mengenai bid’ah , kenduri arwah dan talqin juga segala syubhat yang dibawakan oleh orang-orang yang memusuhi sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Antara poin yang akan dibahaskan ialah :

1)Semua Bid’ah adalah sesat

2)Pembahagian Bid’ah

3)Sunnah hasanah bukan, bid’ah hasanah!

4)Adakah mengahadiahkan pahala bacaan al-qur’an sampai kepada si mati?

5)Dalil-dalil dan pernyataan-pernyataan para ulama berkenaan mayat tidak boleh mendengar

6)Hukum berhujah dengan hadith Dhaif pada fadhilat-fadhilat amal

7)Kedudukan hadith-hadith talqin kepada si mati setelah dikebumikan

8)Benarkah para sahabat, Tabi’in dan orang-orang soleh terdahulu menunggu kubur si mati?

9)Asal ibadah adalah terlarang kecuali ada dalil yang mensyariatkannya


Manhaj saya dalam menukil apa yang dikarang oleh guru kami, saya meringkaskan footnote untuk segala rujukan kerana ingin meringkaskan perbahasan.

Saya menamakan Ustadz Abdul Wahab sebagai Ustadz dan Zamihan sebagai Zamihan ketika mengulas beberapa poin yang saya kira perlu untuk diterangkan bagi menambahkan lagi kefahaman dan juga dalam beberapa contoh yang saya sertakan sebagai tambahan.

Untuk buku Membela Sunnah Nabawiyah : Menjawab Syubhat Buku Bid’ahkah Kenduri Arwah dan Talqin saya namakan dengan MSN dan untuk buku Bid’ahkah Kenduri Arwah Dan Talqin saya namakan dengan BKADT.

Kami memohon kepada Allah agar mengurniakan kepada kita seluruh umat islam jalan yang lurus yang ditempuh oleh para Nabi dan Rasul, juga para pengikut mereka. Inilah jalan Salafus Soleh. Semoga Allah memberikan kepada kita manfaat hasil dari tulisan ini. Wallallahul muwaffiq

Monday, May 11, 2009

001 - Adakah perkataan kullu bid’atin dholalah tidak semuanya sesat?

Adakah perkataan kullu bid’atin dholalah tidak semuanya sesat?

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam :

وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
“Setiap yang bid’ah itu sesat”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim (Shahih Muslim no. 1435), Imam an-Nasaie (Sunnan an-Nasaie no. 1560), Imam Abu Daud (Sunnan Abu Daud no. 3991) dan Imam Ahmad (al-Musnad no. 13815)

Dalam hal ini, Imam asy-Syathibi mengatakan berkaitan dengan perkataan kullu : “Menurut ulama, hadis ini diterapkan pada keumumannya tanpa ada pengecualian apapun darinya. Pada bid’ah (di hadis ini pula) sama sekali tidak ada yang disebut (bid’ah) yang baik. (al-Fatawa oleh Imam Asy-Syathibi ms. 180 dan Ilmul Ushul Bida’ ms. 91 oleh Syaikh Ali Hasan)

Antara perkataan para ulama yang menyebutkan berkaitan dengan istilah kullu :

Di dalam kitab Aunul Ma’bud : "seperi mana sabda Nabi “kullu bid’atin dholalah” ia adalah jawami’ul kalim (termasuk satu perkataan yang ringkas mencakupi seluruhnya -pent) tidak ada satupun (yakni bid’ah) yang terkeluar darinya. "(aunul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud hadis no. 3991)

Di dalam kitab ini juga pengarang kitab telah menyebutkan bahawa “setiap bid’ah” yang dimaksudkan adalah bid’ah dari segi syariat bukan dari segi bahasa, kerana sabda Nabi ini memaksudkan kepada bid’ah dari segi syarie sebagaimana yang beliau nukilkan dari perkataan Imam Ibnu Rajab. (InsyaAllah akan datang perbahasan mengenai pembahagian bid’ah dari segi bahasa dan syarie)

Syubhat-syubhat

Jika ada sebahagian manusia yang mengatakan perkataan kulllu tidak mencakupi semua sebagaimana firman Allah

-كُلٌّ لَهُ قَانِتُونَ- semua tunduk kepada-Nya (QS. al-Baqarah 2:116).

Mereka mengatakan : ayat ini menyatakan semua tunduk sujud kepada Allah, namun orang-orang kafir tidak tunduk sujud kepada Allah, jadi perkataan kullu tidak bermakna semua.

Jawapan : Baik, mengenai hal ini, Ibnu Katsir telah menjelaskannya di dalam kitab Tafsirnya, katanya : Ibnu Abi Nujaih meriwayatkan dari Mujahid, ayat –seperti di atas- iaitu “Taatnya orang kafir ialah dengan sujudnya bayangannya, sedangkan orang kafir itu sendiri tidak mau sujud”.

Kemudian beliau mengatakan : Dan hal ini (sujud) terbahagi kepada dua, Syar’ie dan Qadari (berdasarkan sunnatullah). Sebagaimana firman-Nya

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ

Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemauan sendiri atau pun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari. (QS. ar-Ra’du 13:15)

Jadi tafsiran mereka (ahlu bid’ah) tertolak jika mereka mengatakan kullu bererti tidak semua.

Bagaimana agaknya tafsiran mereka apabila melihat firman Allah :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. (QS. ali-Imran 3:185)

Adakah setiap (kullu) dalam ayat di atas tidak mencakupi semua/segala sesuatu? Jika demikian ini bermakna bahawa ada juga makhluk yang bernyawa yang tidak akan mati!!!?? Jelasnya ini tafsiran yang menyimpang.

Allahu a’lam

Rujukan :

1)Tafsir Ibnu Katsir terjemahan Pustaka Imam Syafi’e, arab (maktabah Syamilah)
2)Al-I’tisham Imam Syathibi terjemahan Pustaka Azam
3)Bid’ah Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ust Rasul Dahri terbitan Jahabersa
4)Sunnan Abu Daud, Shahih Muslim, Musnad Imam Ahmad, Sunnan An-Nasaie (Maktabah Syamilah)
5)Aunul Ma’bud (Maktabah Syamilah)