Saturday, June 6, 2009

006 - Sunnah Hasanah Bukan Bid'ah Hasanah : Bedah Buku MSN

Poin ketiga : Sunnah hasanah bukan bid’ah hasanah!

Seringkali kita mendengar aktivis bid’ah melaungkan hadith sunnatan hasanatan untuk membenarkan perbuatan bid’ah mereka. Begitu juga dengan Zamihan, beliau membawakan hadith ini untuk membenarkan perbuatan bid’ah yang dinamakannya dengan nama bid’ah hasanah. Apakah benar demikian?

Lihat pernyataannya Zamihan di BKADT : “Lagipun hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Ibnu Majah, al-Nasa’ie secara jelas menyebutkan adanya sunnah sayyi’ah (tidak baik) dan hasanah. Hadith inilah yang dikatakan mengkhususkan lafaz كل بدعة ضلالة ertinya setiap bid’ah adalah sesat.” (selesai nukilan dari BKADT)

Hal ini dijawab oleh Ustadz di dalam MSN ms. 45-48 dengan membawakan jawapan dari Imam asy-Syathibi, Ustadz mengatakan :

Jawapan :
Beliau mempertahankan akan adanya bid’ah hasanah dengan menyertai sebuah hadith yang beliau tidak sebutkan. Beliau mengelirukan pembaca dengan hanya mengatakan hasanah sahaja, sedangkan hadith itu menyatakan sunnah hasanah, bukan bid’ah hasanah sepertimana yang beliau inginkan, tidak menurut lafaz hadith berkenaan! Kerana memang di dalam Islam tidak ada yang dikatakan bid’ah hasanah.
Hadith itu ialah :

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Sesiapa yang mengerjakan sunnah yang baik dalam Islam, maka ia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengerjakannya sesudahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan sesiapa yang mengerjakan sunnah yang buruk dalam Islam, maka ia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya sesudahnya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (Hadith Riwayat Muslim 16/442 no. 6741, al-Nasa’ie, Ibnu Majah, ad-Darimi dll)

Pertama :
Bahawasanya makna مَنْ سَنَّ ertinya : “Sesiapa yang mengerjakan sunnah.”
Ialah mengerjakan amal dalam rangka melaksanakan atau mengikuti, bukan mengerjkan amal dengan membuat syariat baru. Adapun maksud hadith tersebut ialah beramal dengan amalan-amalan yang telahpun ditetapkan dalam sunnah nabawi. Sebab wujudnya hadith ini (asbabul-wurud) menunjukkan benarnya perkara itu iaitu berkenaan sedekah yang telahpun disyariatkan.

Iaitu hadith Jabir, ia berkata :

خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَحَثَّنَا عَلَى الصَّدَقَةِ فَأَبْطَأَ النَّاسُ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ الْغَضَبُ وَقَالَ مَرَّةً حَتَّى بَانَ ثُمَّ إِنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ فَأَعْطَاهَا إِيَّاهُ ثُمَّ تَتَابَعَ النَّاسُ فَأَعْطَوْا حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ السُّرُورُ فَقَالَ مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً

“Rasulullah berkhutbah di hadapan kami, maka baginda memberikan semangat pada manusia untuk bersedekah, akan tetapi para sahabat melambat-lambatkan (tidak bersegera) sehingga kelihatan kemarahan pada raut wajah Rasulullah. Kemudian datanglah seorang lelaki dari kalangan kaum Anshar dengan membawa beg berisi wang (untuk bersedekah), maka sahabat yang lain pada saat itu pun mengikutinya, sehingga kelihatan wajah Rasulullah senang hati dan baginda bersabda : “Sesiapa yang mengerjakan sunnah yang baik dalam Islam….” (Hadith tersebut). Lafaz ini dari ad-Darimi dan lafaz Muslim lebih panjang.

Kedua:
Bahawasanya Rasulullah bersabda مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan sunnah yang baik dalam Islam. Sementara baginda juga bersabda كل بدعة ضلالة ertinya : “Semua bid’ah adalah sesat”. Maka tidaklah mungin timbul dari yang benar dan dibenarkan Rasulullah perkataan yang satunya mendustakan perkataan yang lain. Dan tidak mungkin pula perkataan Rasulullah bercanggah selama-lamanya.

Ketiga:
Bahawasanya Nabi bersabda مَنْ سَنَّ : ertinya “sesiapa yang mengerjakan sunnah”. Baginda tidak bersabda من ابتدع ertinya “Sesiapa yang berbuat bid’ah”. Baginda juga bersabda في الاسلام ertinya “dalam Islam”. Sedangkan bid’ah bukanlah dari Islam, dan Rasulullah bersabda: حسنة ertinya “Yang baik”. Sedangkan bid’ah tidak termasuk kebaikan. Maka jelaslah perbezaan antara sunnah dengan bid’ah. Kerana sunnah adalah jalan dalam rangka ittiba’ (mengikuti), sedangkan bid’ah adalah perkara yang baru dalam urusan agama.

Keempat:
Tidaklah pernah ada seorang pun daripada ulama salaf yang menafsirkan: السنة الحسنة ertinya “Sunnah yang baik” dengan yang direka-reka oleh manusia yang datangnya daripada diri mereka sendiri.

Kelima:
Bahawasanya makna: من سن ertinya “Sesiapa yang mengerjakan sunnah” ialah orang yang menghidupkan sunnah yang telah ada sebelumnya. Iaitu ketika sunnah itu ditinggalkan, kemudian menghidupkan kembali. Maka perkataan سنَّ itu disandarkan secara tertentu, yakni bagi orang yang menghidupkan sunnah itu ketika sunnah itu ditinggalkan. Perkara ini ditentukan dalam sebuah hadith yang berbunyi:

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ أَوْزَارُ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِ مَنْ عَمِلَ بِهَا شَيْئًا

“Sesiapa yang menghidupkan sunnah dari sunnahku, kemudian manusia mengamalkannya, maka dia memperoleh pahala sepertimana orang yang mengamalkan sunnah tersebut tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengadakan suatu amalan bid’ah kemudian ianya dikerjakan, maka dia mendapat dosa orang yang mengamalkan bid’ah tersebut tanpa mengurangi sedikitpun dosa orang yang mengamalkan bid’ah itu.” (HR Ibnu Majah no. 209)

Keenam:
Bahawasanya perkataan من سن سنة حسنة ertinya “Sesiapa yang mengerjakan sunnah yang baik” dan perkataan من سن سنة سيئة ertinya “Sesiapa yang mengerjakan sunnah yang buruk”, pada dasarnya tidaklah mungkin mengandungi pengertian mereka-reka kerana adanya: حسنة ertinya yang baik, dan perkataan yang buruk. Hanya boleh diketahui dengan syara’. Maka lazimnya adanya sunnah dalam hadith tersebut yang baik menurut syara’ dan yang buruk menurut syara’ pula. Sehingga seseorang tidak bersedekah melainkan dengan mencotohi sedekah yang telah diterangkan. Demikian pula dengan sunnah-sunnah lain yang disyariatkan.

Maka sunnah yang buruk merupakan suatu bentuk kemaksiatan yang telahpun ditetapkan oleh syara’, bahawa perkara tersebut adalah maksiat. Seperti peristiwa pembunuhan yang masyhur yang dilakukan oleh anak nabi Adam (Qabil dan Habil). Sepertimana sabda Nabi :

لانه اول من سن القتل

Kerana dia (Qabil) adalah orang yang pertama mengadakan pembunuhan. (Riwayat Bukhari no. 3335)

Perkara ini termasuk bid’ah kerana telahpun ditetapkan oleh syara’ tercelanya dan larangan melakukan pembunuhan. (al-I’tisham 1/236)

Sedikit catitan dari saya (Abu Hurairah) :

Apa yang dimaksudkan untuk jawapan yang Kedua yang dibawakan oleh Ustadz ialah, jika kita menilai kedua-dua hadith berkenaan مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً dan كل بدعة ضلالة dengan memahaminya sebagaimana cara yang difahami oleh Zamihan, bahawa sunnah hasanah adalah bid’ah hasanah, maka akan berlaku pertentangan dengan hadith setiap bid’ah adalah sesat. Satu hadith menganjurkan perbuatan bid’ah dan satu lagi hadith melarang perbuatan bid’ah secara mutlak. Adakah Rasulullah akan menyampaikan syariat yang wujud pertentangan di dalamnya? Pasti tidak!!

Kecelaruan dan syubhat bahawa bolehnya melakukan bid’ah telah dibantah oleh hadith :

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ أَوْزَارُ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِ مَنْ عَمِلَ بِهَا شَيْئًا

“Sesiapa yang menghidupkan sunnah dari sunnahku, kemudian manusia mengamalkannya, maka dia memperoleh pahala sepertimana orang yang mengamalkan sunnah tersebut tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengadakan suatu amalan bid’ah kemudian ianya dikerjakan, maka dia mendapat dosa orang yang mengamalkan bid’ah tersebut tanpa mengurangi sedikitpun dosa orang yang mengamalkan bid’ah itu.” (HR Ibnu Majah no. 209)

Lalu apakah masih tersisa di hati kalian untuk melakukan bid’ah? Allahul Musta’an





No comments:

Post a Comment