Tuesday, May 26, 2009

005 - Pembahagian Bid'ah : Bedah Buku MSN

Poin Kedua : Pembahagian Bid'ah

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa semua bid’ah adalah sesat. Jika kita menfsirkan perkataan bid’ah dari segi bahasa, kita mendapati bahawa bid’ah bermaksud “segala perbuatan yang tidak ada contoh atau asal-muasal dari sebelumnya”. Jadi apakah ini bermakna menaiki kederaan semacam kereta, motor, kapal terbang dan lain-lain yang tidak ada contoh dari Nabi dihukum sesat sebagaimana dalam hadits Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam? Maka di sini kami akan menghuraikan masalah ini.

Berkata Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah ketika menjelaskan bagaimana satu-satu perkara itu dihukum bid’ah yang sesat, katanya :

كل بدعة ضلالة قاعدة شرعية كلية بمنطوقها ومفهومها أما منطوقها فكأن يقال حكم كذا بدعة وكل بدعة ضلالة فلا تكون من الشرع لأن الشرع كله هدى فان ثبت ان الحكم المذكور بدعة صحت المقدمتان وانتجتا المطلوب

Sabda Nabi “Kullu bid’atin Dholalah” , merupakan kaedah syar’iyah yang menyeluruh. Adapaun lafaznya, seolah-olah dikatakan “Hukum ini adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat. Maka bid’ah itu tidak termasuk perkara syariat kerana semua syariat adalah petunjuk. Apabila telah tetap hukum yang disebut itu adalah bid’ah, maka berlakulah “Semua bid’ah adalah sesat” baik secara lafaz ataupun makna dan inilah yang dimaksudkan.” (Fathul Bari jil. 13 ms. 267)

Lihat bahagian kata-katanya, “Maka bid’ah itu tidak termasuk perkara syariat kerana semua syariat adalah petunjuk” yang dimaksudkan di sini ialah, selagi mana sesuatu perbuatan itu tidak termasuk kategori bid’ah maka ianya tidak boleh dikatakan bid’ah yang sesat. Ini jelas pada pernyataan beliau “Apabila telah tetap hukum yang disebut itu adalah bid’ah, maka berlakulah “Semua bid’ah adalah sesat” baik secara lafaz ataupun makna dan inilah yang dimaksudkan”. Begitu juga bid’ah tidak boleh dimasukkan ke dalam syariat kerana bid’ah adalah kesesatan sedangkan syariat adalah petunjuk dan keseluruhan syariat telah diterangkan dan disampaikan oleh Nabi.

Ini juga membuktikan bahawa tidak wujud bid’ah hasanah. Kerana keseluruhan bid’ah adalah sesat. Kemudian jika sesuatu amal perbuatan itu dinamakan bid’ah hasanah kerana ada dasar dalam syariat, maka ianya tertolak kerana jika ia terdapat dalam syariat, lebih benar lagi amalan itu dinamakan dengan sunnah ataupun perbuatan yang disyariatkan.

Tentang masalah ini, para ulama telah membahagikan bid’ah ini kepada dua bahagian. Untuk keterangan yang detail, saya bawakan jawapan di dalam buku MSN yang menjawap syubhat Zamihan tentang bid’ah.

Ustadz mengatakan di halaman 15 mengenai erti bid’ah:

Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka para ulama telah memberikan beberapa definisi dan takrif berkenaan bid’ah menurut istilah syara’ seperti berikut.

Ibnu Rajab rahimahullah berkata :

ما أحدث مما لا أصل له في الشريعة يدل عليه وأما ما كان له أصل من الشرع يدل عليه فليس ببدعة شرعا وإن كان بدعة لغة

Yang dimaksudkan dengan bid’ah ialah apa-apa yang diada-adakan tanpa ada asalnya dalam syariat yang menunjukkan perbuatan tersebut. Adapun yang ada asalnya daripada syariat yang menunjukkan perbuatan tersebut bukanlah suatu bid’ah menurut syariat walaupun dikatakan secara bahasa. (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam 2/127)

Imam Suyuthi berkata :

والبدعة عبارة عن فعلة تصادم الشريعة بالمخالفة، أو توجب التعاطي عليها بزيادة أو نقصان

Bid’ah adalah pengungkapan dari suatu perbuatan yang menolak syariat dengan cara menyelisihinya atau menyebabkan pertentangan dengan syariat sama ada dengan menambah atau mengurangkannya. (Al-Amru bil Ibtiba’ ms. 81 oleh as-Suyuthi)

Imam Syathibi telah membahas masalah ini dengan begitu teliti, definisi yang dibawakan oleh beliau adalah definisi yang paling bagus, di mana beliau menyatakan :

عبارة عن طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه

Bid’ah ialah suatu jalan yang direka-reka di dalam urusan agama yang mana ianya menyerupai syariat dan dilaksanakan dengan maksud bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah subanahu wa ta’ala. (al-I’tisham 1/27) [selesai nukilan dari MSN]

Saya (Abu Hurairah) mengatakan : kesimpulan yang dapat diambil dari ulasan para ulama di atas ialah, 1) bid’ah itu adalah sesat sehingga ia perlu ditolak 2) para ulama membahagikan bid’ah kepada dua bahagian sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali Rahimahullah iaitu bid’ah dari segi bahasa dan syara’.

Kontroversi perkataan Imam Syafie –Bid’ah itu ada dua hasanah dan dholalah

Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Syafie rahimahullah :

البدعة بدعتان: بدعة محمودة، وبدعة مذمومة، فما وافق السنة فهو محمود، وما خالف السنة فهو مذموم

(1) Bid’ah itu ada dua bentuk : Bid’ah mahmudah dan Bid’ah Mazmumah (tercela). Maka apa yang bersesuaian dengan sunnah, ianya terpuji dan apa yang menyelisihi sunnah maka ia adalah tercela.”

Dalam pernyataan yang lain, Imam Syafie rahimahullah berkata :

(2)المحدثات في الأمور ضربان: أحدهما ما حدث يخالف كتاباً أو سنة أو أثراً أو إجماعاً فهذه البدعة الضلالة. والثاني: ما أحدث من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا فهي محدثة غير مذمومة

Suatu yang diada-adakan (perkara baru di dalam agama) ada dua bentuk : Sesuatu yang diada-adakan yang menyelisihi kitab (al-Quran) atau sunnah, atau atsar ataupun ijma’, maka ianya adalah bid’ah yang sesat. Dan sesuatu yang diada-adakan dari kebaikan yang ia sedikitpun tidak menyelisihi sunnah, maka ia tidak tercela.” (Al-Amru bil Ibtiba’ ms. 89 oleh as-Suyuthi)

Jawapan :

Mungkin sesetengah orang beralasan dengan kata-kata Imam Syafie mengenai wujudnya bid’ah hasanah dalam agama, sehinggakan mereka redha mengamalkan bid’ah hasanah melebihi mengamalkan sunnah Nabi.

Ustadz telah memberikan jawapan kepada orang-orang yang berhujah dengan ucapan Imam Syafie untuk membenarkan bid’ah hasanah dengan membawakan perkataan para ulama sebagaimana di dalam MSN hlmn 17, katanya :

1) Suatu ucapan atau pendapat seseorang tidak boleh ataupun pendapat dari seseorang tidak boleh menyalahi sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam walau bagaimana kedudukannya sekalipun. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah hujah ke atas semua manusia, tidaklah sebaliknya iaitu ucaoan seseorang menjadi hujah ke atas sabda Nabi.

Abdullah Bin Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata :

ليس احد الا ويؤخذ من رأيه ويترك ما خلا النبي

“Tidaklah seseorang itu kecuali pendapatnya boleh diterima dan ditolak melainkan Nabi” [Di dalam buku MSN tidak disebutkan nota kaki bagi atsar ini, di sini saya bawakan dan saya hanya menemukan perkataan ini pada lafaz (ما من أحد إلا يؤخذ من علمه ويترك إلا رسول الله) dari Ibnu Abbas disebutkan di dalam Takhrij Ahadits al-Ihya’ oleh al-‘Iraqi (تخريج أحاديث الإحياء). Adapun perkataan seperti di atas dengan lafaz (ليس أحد إلا يؤخذ من قوله ويترك من قوله إلا النبي) dari Mujahid seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi di dalam al-Madkhal ila Sunnan al-Kubra (1/107)]

2) Orang yang meneliti perkataan Imam Syafie rahimahullah tidak akan teragak-agak untuk menetapkan bahawa bid’ah mahmudah yang dimaksudkan oleh beliau adalah bid’ah pada bahasa bukan pada syara’ berdasarkan dalil : Bahawa semua bid’ah pada pengertian syara’ ialah amalan yang menyelisihi al-Kitab dan Sunnah.

Sesungguhnya Imam Syafie membataskan bid’ah mahmudah kepada perkara yang tidak menyalahi al-Kitab dan Sunnah. Sedangkan semua bid’ah pada syara’ ianya menyalahi firman Allah :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, (QS. al-Maidah 5:3)

Dan menyalahi sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru daam urusan (agama) kita, yang ianya bukan dari agama, maka perbuatannya itu tertolak (tidak diterima oleh Allah).” (Bukhari no. 2697)

Juga menyalahi ayat-ayat dan hadits-hadits yang lain. [selesai nukilan dari MSN]

Saya berkata : Secara ringkas apa yang kita dapat difahami ialah, bahawa bid’ah yang sesat diukur dari sisi syara’ sedangkan bid’ah dari segi bahasa tidaklah ia dikatakan sesat. Inilah kesepakatan para ulama mengenai bid’ah lughawi (bahasa) dan syarie (syara’). Dan perkataan Imam Syafie sendiri telah dijelaskan oleh ulama yang lain iaitu Ibnu Rajab bahawa tidak wujud syariat yang baru atas nama bid’ah hasanah. Maka orang yang menolak hujah ulama tanpa ilmu (untuk membenarkan bid’ah hasanah), maka tidak diragukan lagi bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu yang tegar.

Ustadz membawakan perkataan Ibnu Rajab di halaman 19 di MSN di mana Ibnu Rajab berkata :
ومراد الشافعي رضي الله عنه ما ذكرناه من قبل أن أصل البدعة المذمومة ما ليس لها أصل في الشريعة ترجع إليه وهي البدعة في إطلاق الشرع وأما البدعة المحمودة فما وافق السنة يعني ما كان لها أصل من السنة ترجع إليه وإنما هي بدعة لغة لا شرعا لموافقتها السنة

“yang dimaksudkan oleh Imam Syafie yang telah kita sebutkan sebelumnya (no. 1 dan 2 di atas –pen-), bahawasanya pada dasarnya bid’ah yang tercela adalah sesuatu yang tidak ada asalnya menurut syariat yang ia akan kembali kepadanya. Inilah bid’ah menurut syara’. Adapun bid’ah yang terpuji iaitu apa-apa yang bertepatan dengan sunnah yang kembali kepadanya, hanyasanya pemahaman ini secara bahasa bukan secara syara’, kerana ia bertepatan dengan sunnah”. (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam jil. 2 ms. 131)
Bid’ah pada bahasa yang dimaksudkan oleh Imam Syafie yang dikatakan mahmudah seperti, penulisan hadits dan solat terawih. Perbuatan ini boleh dikatakan dalam bahasa sebagai bid’ah kerana ianya tidak dikerjakan sebelumnya. Adapun pada syara’, ianya tidak boleh dikatakan sebagai bid’ah kerana mempunyai asal dari as-Sunnah tentang pensyariatannya. [selesai nukilan dari MSN]

Para ulama yang membahagikan bid’ah kepada lughawi dan syarie

1)Ibnu Katsir berkata di dalam tafsirnya berkaitan firman Allah: بديع السموات والارض
{ بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ } أي: خالقهما على غير مثال سبق، قال مجاهد والسدي: وهو مقتضى اللغة، ومنه يقال للشيء المحدث: بدعة. كما جاء في الصحيح لمسلم: "فإن كل محدثة بدعة [وكل بدعة ضلالة] " . والبدعة على قسمين: تارة تكون بدعة شرعية، كقوله: فإن كل محدثة بدعة، وكل بدعة ضلالة. وتارة تكون بدعة لغوية، كقول أمير المؤمنين عمر بن الخطاب رضي الله عنه عن جمعه إياهم على صلاة التراويح واستمرارهم: نعْمَتْ البدعةُ هذه.

Dialah Allah yang menciptakan langit dan bumi” bermaksud Dialah yang menciptakan kedua-duanya tanpa ada contoh yang sebelumnya. Menurut Mujahid dan as-Suddiy menyatakan bahawa makna yang dikehendaki ialah secara bahasa. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa orang yang melakukan perkara

baru dalam agama adalah bid’ah. Sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Shahih Muslim bahawa Nabi bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah.”

Dan bid’ah itu pada dasarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama : Bid’ah Syar’iyah (menurut syara’) kedua Bid’ah lughawi (menurut bahasa). Adapun yang dimaksudkan dengan bid’ah syar’iyah ialah sesuai dengan sabda Nabi beriktu ini, ertinya “Sesungguhnya setiap perbuatan baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.” Manakala yang dimaksudkan dengan bid’ah lughawi ialah seperti perkataan Amirul Mukminin Umar al-Khatthab tentang solat terawih berjemaah yang dilakukan secara terus-menerus di mana beliau berkata “Sebaik-baik perbuatan bid’ah adalah ini (solat terawih berjemaah)”.
(Tafsir Quranil ‘Azhim oleh Imam Ibnu Katsir 1/153 - di dalam buku MSN perkataan {هى} digunakan pada teks arabnya, lalu saya digantikan dengan {هذه} pada teks arabnya kerana perkataan ini lebih masyhur dan memang perkataan ini {هذه} terdapat di dalam tafsir Ibnu Katsir. Mungkin rujukan yang diambil oleh Ustadz tertulis perkataan {هى} ataupun mungkin kesalahan dari penulisan Ustadz, harap maklum Allahu a'lam)

2)Berkata al-‘Allamah Ibnu Hajar al-Haitami al-Syafie dalam fatwanya :

هي ما لم يقم دليل شرعي على أنه واجب أو مستحب سواء أفعل في عهده أو لم يفعل كإخراج اليهود والنصارى من جزيرة العرب وقتال الترك لما كان مفعولا بأمره لم يكن بدعة وإن لم يفعل في عهده وكذا جمع القرآن في المصاحف والاجتماع على قيام شهر رمضان وأمثال ذلك مما ثبت وجوبه أو استحبابه بدليل شرعي
وقول عمر رضي الله عنه في التراويح نعمت البدعة هي أراد البدعة اللغوية وهو ما فعل على غير مثال كما قال
تعالى ) قل ما كنت بدعا من الرسل ( وليست بدعة شرعا فإن البدعة الشرعية ضلالة كما قال ومن قسمها
من العلماء إلى حسن وغير حسن فإنما قسم البدعة اللغوية ومن قال كل بدعة ضلالة فمعناه البدعة الشرعية

“bid’ah menurut syara’ ialah suatu perbuatan yang tidak ada dalil syara’ dalam perkara yang dwajibkan atau disunnahkan untuk melakukannya. Sekiranya ada dalil syara’ yang menyatakan bahawa pernah atau tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah, maka tentulah tidak boleh disebut sebagai bid’ah sayyiah (buruk). Perintah Nabi untuk mengusir orang-orang yahudi dan nashrani dari Jazirah arab dan memerangi mereka bukanlah termasuk perbuatan bid’ah walaupun perbuatan itu tidak pernah berlaku di zaman baginda. Demikian juga dengan pengumpulan al-Quran dalam mashaf. Juga mengenai ijtima’ (pengumpulan) Qiamul-lail Ramadhan dan sebagainya. Termasuk juga penetapan hukum wajib dan disunnahkan yang berdasarkan dalil syara’. Juga berkenaan perkataan Umar mengenai Solat terawih di mana beliau berkata “Sebaik-baik bid’ah ialah perbuatan ini”.

Adapun bid’ah menurut bahasa ialah perbuatan yang tidak diperintahkan dan tidak dicontohkan. Sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah berikut ini

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ

Katakanlah: "Aku bukanlah rasul yang pertama di antara rasul-rasul (QS. al-Ahqaf 46:9)

Yang dimaksudkan dengan bid’ah dalam ayat ini bukanlah bid’ah sayyiah (buruk). Kerana bid’ah sayyiah semuanya sesat sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah di atas. Sesiapa antara ulama yang membahagikannya menjadi bid’ah hasanah dan sayyiah, maka permbahagian itu adalah pembahagian lughawi. Dan orang yang mengatakan semua bid’ah itu sesat, maka pemahamannya diambil dari makna bid’ah syar’iyah”. (As’ilah ms. 57, al-Fatawa oleh Ibnu Hajar al-Haitami 1/109)
Dengan dua perkataan ulama tadi tentang pembahagian bid’ah kepada lughawi dan syar’ie, maka jelaslah di sini bahawa bid’ah yang sesat adalah yang dilakukan di dalam agama. Adapun selain dari agama, maka ia adalah bid’ah hasanah. Allahu a’lam selesai jawapan kepada orang-orang yang sering melaungkan “jika begitu sesatlah penggunaan kereta, kapal terbang dll”. Inilah jawapan untuk mereka bahawa bid’ah yang mereka sebutkan tadi hanya terbatas kepada bid’ah lughawi. alhamdulillah



No comments:

Post a Comment